Lelaki maut ketika 'selfie' dengan walrus
SHANGHAI: Seorang lelaki terbunuh selepas cuba mengambil gambar selfie dengan seekor walrus di Zoo China, lapor laman web Shanghaiist.
Mangsa, seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Jia, dikatakan melawat Zoo Hidupan Liar Yeshanko di wilayah Liaoning dan sempat memuatnaik video terakhir beliau bersama seekor walrus.
Sebaik berkata: "Lihatlah walrus yang kuat dan sangat besar ini!" haiwan itu terus menggigit belakang Jia dan menariknya ke dalam kolam. Jia dilaporkan mati akibat lemas.
Malangnya, penjaga zoo yang menyelam untuk menyelamatkan Jia turut lemas akibat walrus yang dijaga pihak zoo sejak lebih sedekad lalu.
Susulan insiden itu, sumber melaporkan wujud spekulasi bahawa walrus, dengan berat lebih 1.5 tan itu, sekadar ingin bermain-main dan cuba untuk memeluk lelaki berkenaan.
Pihak zoo yang mengambil tanggungjawab terhadap insiden itu, membayar ganti rugi berjumlah 900,000 yuan (RM565,000) kepada keluarga Jia.